Saturday, March 12, 2011

hikayat mereng mahasiswi

arakian, tersebutlah alkisah, seorang mahasiswi mereng, ingin membuka hikayat. perihal kisah kisah hidup ia. perihal hari hari ia temukan.

alkisah diceterakan oleh yang empunya cetera ini. sekali peristiwa ada seorang puteri di sebuah negeri. adapun puteri itu cantik rupanya. mulus kulitnya. bundar matanya. manis senyumnya. tapi sayang, malas orangnya.

adapun baharu baharu ini, ia merasa bosan. kalih ke kiri, ia resah. kalih ke kanan, ia gundah.apa tidaknya. saban hari menemukan perkara yang sama. mana bisa manusia biasa tidak merasa bosan. walaupun ia tidaklah melakukan apa apa. cuma sekadar santap-beradu-tawa-bergumbira sahaja saban masa.

maka ia menetapkan, perlulah ia mencari hiburan. agar terubat segala kesepian. terisi segala kekosongan. dan terkikis segala duitan.

maka di suatu petang yang bening, berangkatlah ia bersama hulubalang sahabat ia, menuju ke tengah kota, mencari hiburan santapan jiwa. adapun mereka berdua bertemulah dengan suatu cetera. yang menarik sekali rasanya. untuk ditonton bersama. hikayat merong mahawangsa namanya.

usai tontonan, puaslah jua hatinya. kagumlah jua dirinya akan cetera yang dipersembahkan. bagaimana akhirnya cetera melayu berjaya keluar dari takuk lama. walaupun masih jua terdapat cacat cela di mana mana. namun bak kata pujangga, masih punya ruang untuk perbaikan. masih punya waktu untuk perubahan.

begitu besar impaknya hikayat merong mahawangsa. sehingga menyebabkan ia berbicara sebegini rupa.

adapun lumrah manusia tidak pernah puas dengan suatu perkara. nafsu untuk berpoya poya makin membara. ia lalu mencari hiburan lain untuk diteroka. beralihlah ia kepada cetera dongeng si cantik dan si buruk rupa. atau dalam bahasa orang putih beastly sebutannya. sebagai seorang puteri yang selalu bermimpi bertemu dengan putera kacak belaka, maka ia sudah lama menantikan cetera dongengan semata ini.

namun sayang seribu kali sayang. indah khabar dari rupa. indah trailer dari cerita. kecewalah hati ia. pabila melihatkan cetera yang tidak menepati citarasa. hatta, putuslah harapan ia terhadap cetera karangan orang kulit putih. tidak akan selepas ini ia tersalah pilih.

maka telah terubat segala kesepian. telah terisi segala kekosongan. dan terkikis segala duitan. dek penangan hiburan hiburan. maka kembalilah si puteri rupawan. ke rumah bonda destinasi tujuan. kembali merenungi masa depan. yang masih lagi menjadi pertanyaan. . .

" dua purnama telahpun berlalu.
dua entry berazam iltizam telahpun dikarang.
namun masih tiada perubahan berlaku.
bilalah nak berubah cik farrakaka sayang?"


* badigol. apa kejadahnya aku berbahasa melayu klasik sebegini? tapi serius, cerita merong memang best. tidak tipikal. dan aku sarankan tontonlah ia, janganlah kamu menonton beastly. usah lagi terpengaruh dengan propaganda orang kulit putih. diorang tu banyak agenda nak memburukkan nama Islam. sokonglah industri filem tanahair. dan sejarah melayu. bukan cerita fairy tale beauty and the beast. nescaya kamu akan rugi. dan ditemui mati kebosanan dalam panggung.

No comments: